ANALISIS PERUBAHAN SISTEM PENDIDIKAN UNTUK MENCAPAI HASRAT FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN



     Falsafah Pendidikan Kebangsaan merupakan satu hala tuju, dasar serta panduan dalam usaha mengembangkan dan memajukan sistem pendidikan di Malaysia. Kita sedia maklum bahawa sistem pendidikan di Malaysia telah mengalami banyak perubahan berdasarkan era tertentu bermula daripada era masyarakat Melayu Tradisional yang bercorakkan pendidikan agama, penglipur lara, pendidikan tidak formal serta pendidikan istana telah berkembang dengan pesatnya apabila British menjajah Tanah Melayu. Hal ini dikatakan demikian kerana british telah memperkenalkan sistem pendidikan formal dengan penubuhan sekolah-sekolah vernakular seperti sekolah melayu, sekolah inggeris, sekolah cina dan sekolah india dimana setiapnya berasaskan kurikulum yang dibawa oleh negara asal mereka.

       Perkara ini mewujudkan jurang yang amat ketara diantara kaum sehinggalah wujud satu kesedaran dalam kalangan pemimpin betapa pentingnya kewujudan satu sistem pendidikan yang mempunyai kurikulum yang selaras bagi menyatukan semua kaum yang ada di Tanah Melayu pada zaman tersebut. Oleh itu, pada tahun 1979, Laporan Jawatankuasa Kabinet telah mencetuskan idea penggubalan satu falsafah pendidikan untuk membantu hala tuju pendidikan bagi memenuhi keperluan individu, masyarakat dan negara. Namun, Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979 yang telah digubal tersebut hanya diisytiharkan dan dijelmakan secara rasminya pada tahun 1988 melalui Falsafah Pendidikan Negara. Pernyataan kandungannya adalah seperti berikut:

    "Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini bertujuan untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara".

     Kemudiannya, melalui Akta Pendidikan 1996, falsafah ini telah mengalami sedikit pertambahan perkataan didalamnya yang membawa kepada perubahan Falsafah Pendidikan Negara (FPN) kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dimana penyataan kandungannya ialah “ Pendidikan di Malaysia ialah satu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara”.

      Dalam usaha ini juga telah terbentuknya kurikulum kebangsaan yang selaras bagi sekolah rendah dan menengah iaitu KBSM dan KBSR sebelum kurikulum tersebut digubal kepada tiga peringkat pendidikan iaitu peringkat prasekolah (KSPK), peringkat sekolah rendah (KSSR) serta peringkat sekolah menengah (KSSM) yang diguna pakai dalam pembelajaran abad ke-21 bagi memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kurikulum Kebangsaan ini telah memberi kelebihan dari segi perancangan, pelaksanaan, agihan serta penilaian kerana bersifat senteralisasi disamping mencakupi pendidikan dari semua peringkat bermula dari prasekolah sehingga sekolah menengah.


 

Comments

Popular posts from this blog

PERANAN KURIKULUM TIDAK FORMAL KE ARAH MENCAPAI MATLAMAT PENDIDIKAN MALAYSIA